Saingan Piala Dunia sampai ke kemuncaknya dengan perlawanan akhir yang berlangsung awal pagi esok di antara Spain dan Holland. Spain layak setelah menewaskan German 1-0 minggu lepas. Holland pula menang ke atas Uruguay 3-2 sehari sebelum pertemuan German vs Spain.
Perlawanan akhir malam ini mempertemukan naib juara Piala Dunia 1974 dan 1978. Percapaian terbaik Holland selepas itu adalah pada tahun 1998 di Perancis apabila mereka berada di tempat ke-4. Untuk edisi sebelum ini di Jerman, Holland sekadar melepas pusingan kedua. Di Afrika Selatan tahun ini, mereka berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir dan sememangnya ingin menebus kekecewaan tahun 1974 dan 1978. Barisan kali ini dilihat lebih mantap dan berkesan terutama barisan tengah mereka. Dengan formasi 5 pemain tengah dan menggunakan penyerang tunggal di depan, barisan tengah mereka bebas untuk bergerak, menyerang dan juga bertahan. Perancang utama Sneijder dilihat menjadi nadi serangan Holland. Di bahagian sayap, Robben dan Kuyt seringkali berjaya dalam melakukan serangan balas dan pantas untuk merobek barisan pertahanan pihak lawan, selain pemain tengah bertahan mereka, Van Bomel dan de Jong kental membantu untuk menyerang dan bertahan. Barisan pertahanan mereka perlu meningkatkan prestasi sekiranya ingin menghalang barisan depan Spain melakukan serangan pantas.
Piala Dunia kali ini adalah perlawanan akhir pertama bagi Spain selepas mereka dilihat tidak begitu menyinar di Piala Dunia biarpun pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada tahun 1934, 1986, 1994 dan 2002. Namun barisan emas kali ini adalah pilihan untuk muncul juara Piala Dunia kali ini. Juara Euro 2008 ini adalah barisan yang lengkap dan mantap di semua posisi. Dengan penjaga gol yang cukup berpengalaman, Iker Cassilas mampu menyekat barisan Holland sepertimana aksi beliau ketika menentang Jerman minggu lepas. Di barisan pertahanan di ketuai Puyol, pertahanan kental ini mampu beraksi di sebelah kanan dan kiri selain di posisi asal di bahagian tengah. Dibantu pemain muda, Pique dan Sergio Ramos selain Capdevilla. Barisan tengah mereka cukup mantap dengan 2 'passer' terbaik dunia Xavi dan Iniesta yang kreatif merencana gerakan-gerakan menarik. Mereka dibantu dengan Xavi Alonso dan juga Pedro yang berkemungkinan beraksi. Perancang Arsenal yang cukup kreatif, Fabregas juga mampu untuk membantu barisan tengah sekirannya diberi peluang beraksi. Villa cukup tajam di depan pintu gol pada Piala Dunia kali ini setelah berjaya menjaringkan 5 gol setakat ini. Beliau akan dibantu Torres yang diharapkan menamatkan kemarau jaringan nanti.
***
Jadi untuk pertemuan awal pagi nanti, gua merasakan Spain menang tipis 1-0 atau 2-1. Gua bukan terpengaruh dengan Paul. Gua menyokong Holland malam ini tapi merasakan Holland tewas.
No comments:
Post a Comment