Ada khabar gembira buat peminat sukan di Malaysia hujung minggu yang lepas, dimulakan dengan pentas final Piala Malaysia 2012 yang mempertemukan 2 juara liga masing-masing ATM dan Kelantan. Perlawanan yang disifatkan terbaik pernah disajikan akhirnya dimenangi pasukan Kelantan selepas masa tambahan setelah keputusan seri 2-2 sehingga masa sebenar. Gol menarik dari Indra Putra Mahayuddin mengesahkan kejuraan trebel pertama buat Kelantan.
Perlawanan akhir yang begitu sengit dan menarik disajikan kedua-dua pasukan apabila saling berbalas serangan dan ATM berjaya menyamakan kedudukan setiap kali mereka ketinggalan kepada pasukan lawan.
Persembahan menarik dari penyerang Norshahrul meletakkan Kelantan di depan di penghujung masa pertama. Namun sebaik masa kedua dimulakan, ATM terus memberi tekanan kepada lawan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Rizal Zambry Yahya. Kelantan tidak menunggu lama untuk kembali berada di depan apabila Norshahrul sekali lagi menemui sentuhan jaringan untuk Kelantan kembali di depan.
ATM yang tidak pernah berputus asa akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila penjaring terbanyak Piala Malaysia, Marlon Alex James menanduk masuk gol kedua ATM. Kedudukan sehingga tamat masa sebenar.
Kejayaan Kelantan kali ini lebih bermakna apabila buat pertama kali berjaya memenangi 3 piala musim ini setelah berjaya memenangi Piala FA dan juga Liga Super.
Pasukan Malaysia bawah 21 memberikan aksi menarik dalam NewspaperCup apabila muncul juara setelah menewaskan Vietnam 1-0. Gol skuad Harimau Muda dijaringkan menerusi tandukan penyerang Hazwan Bakri pada minit ke 57. Perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Pleiku, Vietnam itu menjadi saksi anak-anak buah OKS berjaya merampas piala tersebut dari tuan rumah yang juga juara bertahan.
Pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin mencipta sejarah permotoran tanah air apabila berjaya menaiki podium setelah menduduki tempat kedua pada perlumbaan Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang kelmarin. Pemuda berasal dari Banting ini menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Jerman, Sandro Cortese sementara pelumba Jonas Folger di tempat ketiga.
Memulakan perlumbaan di petak pertama, Zulfahmi melakukan pecutan baik namun dipintas oleh Folger di selekoh pertama. Tidak berputus asa untuk mengekalkan kedudukan di kelompok terbaik, beliau berjaya merampas kedudukan pertama namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua setelah Cortese memintas di selekoh terakhir. Dengan itu, Zulfahmi berjaya mengutip 20 mata pada perlumbaan ini sekaligus mengumpul 112 mata keseluruhan dengan berada di kedudukan ketujuh, di belakang pelumba Red Bull KTM Ajo (118), manakala Cortese menguasai di tangga pertama, dengan 280 mata, Luis Salom dari pasukan RW Racing GP (207) dan ketiga pelumba pasukan Blusens Avintia (199 mata).
Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menjuarai Kejohanan Yonex Terbuka Denmark
yang berlangsung di Odense, Denmark malam Ahad waktu Malaysia. Pemain nombor satu dunia itu yang juga pilihan utama kejohanan
menundukkan cabaran pemain China Du Pengyu yang memberi tentangan sengit
sebelum akur 15-21, 21-12, 21-19. Sementara itu, beregu lelaki negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong
terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas kepada
pasangan Korea Selatan Shin Baek Choel/Yoo Yeon Seong 21-19, 11-21,
19-21.